Bila Melayu hilang jati diri seorang Melayu…
lupa asal usul, lupa tanah tumpah darah, lupa akal budi, lupa jasa hati, hancur akan menyusul
.

Rintitan.

Powered by Blogger Widgets

Saturday, July 18, 2009

Orang Melayu Kecewa Kerajaan Perpaduan Ditolak.

Datuk Ibrahim Ali berkata, perasaan orang Melayu seolah-olah dipermain-mainkan.

Ahli Akademik dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu kecewa dan kesal apabila kerajaan perpaduan yang dicadangkan demi perpaduan orang Melayu akhirnya terkubur begitu sahaja.

Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perasaan orang Melayu seolah-olah dipermain-mainkan apabila pakatan pembangkang menolak cadangan itu.

“Kita teruja dan gembira sebelum ini kerana sudah nampak ada usaha perpaduan antara orang Melayu dan umat Islam apabila timbulnya cadangan ini terutama kerjasama antara UMNO dan Pas.

“Tetapi akhirnya ia jadi begini. Perasaan orang Melayu seolah-olah terus dipermainkan demi kepentingan politik pembangkang semata-mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Pas sebelum ini bagi mewujudkan kerajaan perpaduan bersama UMNO demi kesejahteraan orang Melayu dan umat Islam, tetapi ditolak pakatan pembangkang semalam.

“Mereka (Pas) tidak fikir tentang agenda orang Melayu atau Islam. Saya lihat Pas kini sudah hilang kredibiliti sebagai parti Islam yang dihormati, tetapi hanya mahu berpolitik lebih daripada perjuangan asalnya.

“Lebih aneh, mereka menyalahkan UMNO pula kerana cuba mengeksploitasi isu ini. Setahu saya, cadangan ini datang daripada mereka (Pas). Ini ibarat ‘hujan naik ke langit’ pula,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md. Harun yang turut kesal dengan kegagalan kerajaan perpaduan itu berkata, keadaan orang Melayu kini tidak boleh dibanggakan sangat.

Katanya, kaum itu perlu berbuat sesuatu untuk bersatu bagi mencapai kemajuan dalam segala aspek.

“Tetapi, apabila ada usaha seperti ini yang boleh memberi makna besar kepada perpaduan orang Melayu, ada pula yang seperti mahu ia tidak dilaksanakan,’’ katanya.

Katanya lagi, ini menunjukkan bahawa Pas terus tunduk dengan arahan dan kata-kata DAP yang sesekali tidak akan membenarkan orang Melayu bersatu-padu.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad pula berkata, sikap Pas yang berdolak-dalik dalam isu tersebut amat dikesali kerana ia merugikan orang Melayu sendiri.

“GPMS yakin rakyat telah jelas dan faham tentang permainan politik Pas sejak dulu lagi. Kita percaya rakyat akan menolak sebarang cadangan daripada Pas lagi selepas ini walaupun atas nama agama dan kaum Melayu,” jelasnya.

Ketua Umum, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar pula berkata, penolakan idea itu bertentangan dengan aspirasi rakyat yang telah lama menikmati hasil perpaduan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, ia dibuat di peringkat pemimpin politik sahaja tanpa mendengar pandangan akar umbi.

“Pakatan pembangkang selama ini mencanangkan mereka mewakili rakyat, tapi kenapa dalam hal ini mereka tidak mendengar suara rakyat terlebih dahulu,’’ katanya.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohamad Mustapha Ishak berkata, perkembangan terbaru itu menunjukkan Pas lebih mementingkan politik pilihan raya berbanding politik kepentingan ummah.

“Pada masa ini, Pas hanyalah parti ketiga dalam pakatan pembangkang. Jangan anggap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan beri peranan utama kepadanya apabila menang kelak, insaflah bahawa kepentingan ummah mengatasi segala-galanya,’’ katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, kegagalan idea kerajaan perpaduan berpunca daripada penolakan PKR dan DAP.

Katanya, beliau yakin jauh di sudut hati Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap mahukan idea itu direalisasikan demi kepentingan Islam dan orang Melayu.

“Namun, akhirnya dia sedar kekuatan Pas tiada, jadi dia terpaksa ikut arus yang deras dalam pakatan pembangkang.

“Apa pun Pas tidak mahu mengakui mereka mengikut arus deras itu dan sebaliknya lantang menuduh UMNO,” katanya.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM), KS. Balakrisnan berkata, pakatan pembangkang dilihat agak goyah apabila isu berkaitan kerajaan perpaduan dibangkitkan.

Katanya, pihak pakatan mungkin takut atau bimbang sekiranya gabungan Pas dan Barisan Nasional (BN) menjadi kenyataan, kuasa politik dan sokongan masyarakat Islam kepada mereka akan terhakis.

Sumber: Utusan Malaysia, Jun 24hb, 2009

Monday, July 13, 2009

Jangan Permain Islam Dengan Politik.

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Kenyatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan pertandingan secra sihat berlangsung pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri N.41 Manek Urai disambut baik oleh pemimpin PAS yang turut melahirkan hasrat sama.

Namun demikian, janji tersebut hanya ungkapan manis di bibir sahaja lantaran tindakan para pemimpin tertingginya yang terus-terusan melemparkan tuduhan dan fitanah kepada UMNO dan BN sekalipun mereka sendiri tahu kenyataan yang sebenarnya.

Dalam kempen terbarunya di Chuchoh Puteri, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat terus menjadikan UMNO sebagai sasaran kempennya dan menuduh UMNO amal ajaran sesat sebagaimana pertubuhan al-Arqam dan ajaran Ayah Pin.

Sememangnya ini bukan kali pertama tuduhan dan fitnah sedemikian dilemparkan malahan UMNO juga pernah dilabel oleh para pemimpin PAS seperti kafir, munafik dan pelbagai lagi caci-maci kata nista.

Namun demikian, apa yang lebih penting adalah penilaian sendiri terhadap apa yang berlaku malah secara waras lihatlah sendiri bagaimana kedaan sebenar Islam yang direalisasikan antara PAS dan UMNO.

Tidak cukupkah tragedi sembahyang jemaah dua imam, suami isteri berlainan fahaman politik bercerai-berai dan tidak menziarahi jiran sekampung sama ada kematian atau kenduri, sebagai contoh, semuanya itu jelas merupakan kesan daripada ‘kiasan’ takfir Haji Hadi kepada UMNO.

Bagaimana pula dengan kenyataan dibolehkan berkawan dengan syaitan, umat Islam dibenarkan mencarut dan bersekongkol dengan DAP lantas melenting pula apabila soal perpaduan ditimbulkan.

Sesungguhnya, pengukuran Islam bagi PAS amat mudah, malah hanya dengan mengenakan jubah dan lilit serban di kepala maka akan nampaklah bahawa mereka lebih Islam dari yang lain.

Sememangnya, apa guna dari segi luaran nampak berlagak alim, bangga dengan ilmu yang ada akan tetapi hati dan lidah penuh dengan sifat mazmumah, penuh dengan nista seolah terlupa di akhirat kelak lidah menjadi kelu lantas anggota lain yang berbicara.

Bukan sekadar berkata tanpa fakta dan berhujah tanpa kata-kata sebaliknya kepincangan dalam kepimpinan PAS ini sendiri turut diakui oleh ahli-ahlinya.

Pada Muktamar PAS lalu juga, pelbagai hujah dan saranan termasuklah suara para perwakilan yang mewakili akar umbinya mahukan PAS kembali ke idealogi asal parti tersebut.

Menyusur kembali apa yang berlaku, ada antara perwakilannya sendiri yang menyelar tindakan PAS pusat kerana gagal berpegang kepada prinsip khususnya berkaitan isu akidah dan hasrat mewujudkan sebuah negara Islam.

Hal ini dikatakan semakin ketara apabila PAS mengadakan sekutu dengan pakatan pembangkang lain yang secara jelas menentang idealogi Islam.

Dilaporkan ada antara perwakilannya yang mengganggap usaha PAS terhadap idealoginya sebagai gagal lantaran terlalu menjaga hati rakan sekutu dalam pakatan campuran hinggakan sanggup mengenepikan gerakan perjuangannya sendiri.

Malahan, salah seorang perwakilannya turut mempersoalkan kenapa kini barisan kepimpinan PAS sendiri gagal untuk menyelesaikan isu-isu akidah yang dibuat sambil lewa seperti melepas batuk di tangga.

Jika dahulu PAS pernah melarang pengikutnya makan makanan yang disediakan oleh orang-orang UMNO, hari ini PAS berubah wajah. Mereka bukan setakat hanya makan semeja dengan DAP sambil bergelak ketawa tetapi juga turut menyokong parti terbabit, berdiam diri dalam isu azan dan tulisan jawi sehingga ketua muslimatnya pernah dirakamkan memeluk erat wakil rakyat DAP yang disabitkan dengan kesalahan gambar lucahnya.

Kalau dahulu PAS dengan lantangnya menentang keras penerbitan Bible dalam Bahasa Melayu, hari ini PAS bukan setakat angguk bersetuju malah turut membenarkan ‘God’ atau tuhan di dalam Bible digantikan dengan perkataan Allah.