Bila Melayu hilang jati diri seorang Melayu…
lupa asal usul, lupa tanah tumpah darah, lupa akal budi, lupa jasa hati, hancur akan menyusul
.

Rintitan.

Powered by Blogger Widgets

Tuesday, October 13, 2009

Melayu Dikhianati...?

Hati ini semakin hari semakin ditoreh-toreh oleh tuntutan pelbagai pihak bukan Melayu yang bersikap terlalu rasis selepas Pilihan Raya Umum ke-12. Kita boleh tafsir apa sebabnya. Aku tidak mahu mengulas panjang kali ini, cukup sekadar disiarkan semula petikan kenyataan seorang pemimpin MCA, Tun Tan Siew Sin pada 30 April 1969 (dipetik daripada buku Khalid Awang Osman dan pernah diulas Ridhuan Tee Abdullah) untuk renungan kita semua.

''Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain''.

Sebelum itu, seorang pemimpin MIC Tun V.T Sambanthan pada 1 Jun 1965 pernah berkata: ''Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian. Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman...? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu...? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka.

Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan...? ''Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Sama halnya dengan kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain. Apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka peroleh di semua wilayah tersebut...?

"Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Saya tahu dan anda juga tahu. Apa yang sedang berlaku di Malaya...? Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, ''Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara''. Seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara. Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain daripada bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang...? Di manakah dalam sejarah dunia...? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami...? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini.''

Persoalannya, kini apakah pengorbanan Melayu dikhianati oleh kaum lain.....?

Saturday, September 5, 2009

Salam Kemerdekaan.

Hari ini tanggal 31 Ogos 2009, genaplah 52 tahun negara kita merdeka.

Kemerdekaan ini masih lagi muda, masih banyak lagi cabaran dan dugaan yang harus dihadapi.Mengekal dan mempertahankan kemerdekaan negara adalah lebih mencabar.

Ianya menuntut komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada semua lapisan rakyat tanpa mengira apa fahaman politik, kaum dan agama untuk mempertahankan negara ini.

"Negaraku...tanah tumpahnya darahku..rakyat hidup...bersatu dan maju...rahmat bahgia..Tuhan kurniakan..." lagu keramat ini dinyanyikan sejak 52 tahun dahulu.

Sebagai warganegara Malaysia, hayatilah senikatanya dengan penuh penghayatan dan mendalam. Inilah tanah tumpah negara kita.

Inilah Malaysia, ibu pertiwi kita.

Jangan khianati negara ini, bersamalah kita pertahankannya.

Nilai Kemerdekaan Bagi Orang Melayu.

Sejak dari selesai PRU ke-12 yang lepas dan sepertimana yang kita ketahui akan keputusannya dimana lima negeri telah jatuh ketangan pembangkang, kian dilihat setiap hari bagaimana kaum bukan Melayu semakin berani mempertikaikan akan Ketuanan Melayu. Tidak kira kaum bukan Melayu dari parti pembangkang, begitu juga dengan rakan-rakan UMNO didalam Barisan Nasional. Ibarat menikam kawan dari belakang, inilah yang berlaku didalam senario politik negara.

Penulis tertanya-tanya apabila UMNO diasak bertubi-tubi oleh pihak pembangkang, dimanakah rakan-rakan utama UMNO dalam BN? Sepatutnya rakan-rakan utama BN inilah yang akan berdiri teguh dibelakang UMNO untuk menangkis segala serangan dari pihak pembangkang. Ini tidak, bukan sokongan seperti yang diharap-harapkan malah UMNO sendiri menerima tekanan dari dalam BN. Seolah-olah UMNO dibelasah dari luar dan dalam. Malah ada rakan-rakan utama UMNO mula bertindak dengan berani mengugut untuk meninggalkan Barisan Nasional jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Dimanakah semangat setiakawan dan persefahaman yang telah sekian lama dipupuk selama ini sejak dari merdeka lagi diantara semua parti-parti komponen Barisan Nasional. Apa lagi yang kaum bukan Melayu mahukan dari orang Melayu? Tidak cukupkah apa yang mereka telah perolehi dan kecapi setelah keturunan datuk moyang mereka diterima sebagai warganegara tanah air tercinta ini. Tidak cukupkah lagi dengan penguasaan ekonomi yang mereka dominasi sehingga mampu mengurangkan tahap kemiskinan kaum-kaum mereka jika hendak dibandingkan dengan orang Melayu?

Ingatlah kaum bukan Melayu,orang Melayu juga berhak menikmati hidup yang sempurna di tanah air mereka sendiri. Orang Melayu tidak mahu hidup merempat ditanah air mereka. Orang Melayu tidak meminta apa-apa dari bukan Melayu. BN yang ditunjangi oleh UMNO telah berusaha merangka berbagai polisi untuk menaikan taraf hidup orang Melayu sejak merdeka disamping tidak mengabaikan hak-hak kaum lain. Adakah orang Melayu meminta kaum bukan Melayu supaya mengabaikan atau memansuhkan bahasa, adat resam dan sekolah-sekolah bukan Melayu? Malah kebanyakan sekolah-sekolah mereka telah turut dibantu oleh kerajaan.

Ingatlah kaum bukan Melayu, tidak ada didalam dunia ini manusia yang begitu baik bernama “ Melayu “ yang sanggup menerima kaum-kaum pendatang ini sebagai warganegara setelah negara mencapai kemerdekaan. Tanah Melayu tidak meletakkan apa-apa syarat kepada kaum bukan Melayu untuk menerima mereka sebagai warganegara Tanah Melayu. Malah mereka bebas mengamalkan adat resam mereka selepas merdeka.

Jangan cepat lupa sejarah pembentukan Malaysia. Untuk apa kita merayai hari ulang tahun kemerdekaan pada saban tahun jika semua rakyat Malaysia tidak mahu menghayatilah sejarah pembentukan Tanah Melayu. Inilah gunanya hari kemerdekaan disambut supaya rakyat dapat menghayati apa ertinya kemerdekaan dan bagaimana untuk terus mempertahankannya. Bagaimana pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu yang rata-ratanya orang Melayu berjuang menuntut kemerdekaan dari pihak penjajah.

Pejuang-pejuang Melayu terdahulu sanggup bermandikan darah mempertahan bumi tercinta ini dari terus dijajah untuk menjadikan Malaysia sepertimana yang ada pada masa ini. Adakah kaum bukan Melayu pernah berterima kasih pada orang Melayu diatas pengorbanan pejuang-pejuang Melayu terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan negara? Adakah kaum bukan Melayu tahu akan kehadiran Pahlawan Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela dan lain-lain pejuang Melayu. Adakah kita pernah mendengar Kapitan Yap Ah Loy atau ceti-ceti sanggup mengangkat senjata berjuang bersama-sama dengan orang Melayu melawan penjajah? Tidak pernah.

Mengapa pejuang-pejuang Melayu sanggup bermandikan darah berjuang melawan penjajah? Kerana apa, kerana niat mereka cuma satu. Tanah air ini adalah tanah Melayu. Bermakna Melayu adalah tuan kepada tanah air bumi tercinta ini. Siapakah akan mempertahankannya kalau bukan orang Melayu itu sendiri. Sama juga dengan Singapura. Siapakah tuan tanah kepada negara Singapura sekarang walaupun ia sebenarnya pernah menjadi sebahagian dari tanah Melayu. Bolehkah orang Melayu Singapura mengatakan mereka adalah tuan kepada tanah Singapura. Tentu tidak boleh kerana sudah bertukar “ tuan “.

Maka tidak perlulah bukan Melayu terus mempersoalkan akan Ketuanan Melayu kerana semuanya sudah termaktub didalam perlembagaan. Boleh dikira dengan jari berapa ramai perajurit yang berpangkat rendah dari kalangan bukan Melayu kecuali bumiputra dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat didalam pasukan angkatan tentera Malaysia. Kalau mereka benar-benar sayangkan negara mengapa mereka tidak mahu menyertai angkatan tentera Malaysia bermula dari pangkat paling bawah. Kalau adapun yang mahu menyertai ,mengapa mereka cuma memilih untuk pangkat-pangkat atasan sahaja. Apakah jijik sangat pangkat bawahan itu?

Mengapa orang Melayu sahaja yang sanggup menggalas tangungjawab ini meninggalkan anak dan isteri serta keluarga berada didalam hutan atau disempadan untuk menjaga keselamatan negara sedangkan kaum bukan Melayu yang mendabik dada mengatakan yang mereka juga adalah “ tuan” kepada tanah air ini duduk bersenang lenang dengan rumah besar, kereta mewah dan segala kemewahan yang lain. Sanggupkah mereka yang bongkak dan lupa daratan ini berada bersama-sama perajurit Melayu didalam hutan demi menjaga keselamatan negara? Dimanakah bukan Melayu bila setiap tahun Tabung Rayuan hari Pahlawan dilancarkan? Berapa ramai yang sanggup menderma bagi membantu ahli-ahli keluarga perajurit yang daif ataupun yang terkorban semasa menjalankan tugas?

Begitu juga dengan tugas-tugas menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Berapa ramaikah bukan Melayu yang mahu menjadi konstabel Polis? Mengapa jika ada cuma memilih pangkat atasan sahaja. Adakah pangkat bawahan ini untuk orang Melayu sahaja? Bukankah soal keamanan adalah tanggungjawab bersama. Malah ada ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan kredibiliti anggota polis dalam menjaga keamanan negara. Sepatutnya sebagai rakyat dan pembangkang, beliau menyeru kepada bukan Melayu untuk menganggotai pasukan polis bagi sama-sama menjaga keamanan. Ini tidak, malah mempersalahkan pasukan polis dengan kadar jenayah yang tinggi sekarang.

Bagi penulis tanggungjawab pasukan Polis adalah seperti berat mata memandang, tetapi lebih berat bahu yang memikul . Cuma yang faham sahaja yang akan menghormati kerja-kerja yang ditanggung oleh pasukan Polis. Adakah tugas-tugas menjaga keselamatan dan keamanan terletak dibahu orang Melayu sahaja sedangkan kaum bukan Melayu sibuk menghimpun harta kekayaan. Adakah bukan Melayu pernah bersyukur dengan kenikmatan dan hidup senang lenang mereka sekarang adalah hasil dari susah payah orang Melayu yang menjadi pewaris kepada bumi tercinta ini.

Jika bukan Melayu masih lagi mempersoalkan tentang Ketuanan Melayu, adalah lebih baik mereka cermin dulu diri masing-masing tentang asal-usul mereka. Hayati apa itu kontrak sosial, apa itu rukun negara dan apa yang termaktub dan terkandung didalam perlembagaan. Ingatlah yang orang Melayu sudah banyak berkorban untuk bukan Melayu. Orang Melayu tidak meminta banyak kepada bukan Melayu, cuma diharap bukan Melayu menghormati hak-hak istimewa orang Melayu dan Raja-raja Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Seperti titah Raja Muda Perak, Raja Dr,Nazrin tidak lama dahulu:

Masyarakat imigran yang datang daripada pelbagai budaya dan adat perlu berpegang kepada pepatah ‘ Dimana bumi berpijak, di situ langit dijunjung ‘.

Sama-samalah kita renungkan.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-52...

Salam Merdeka

Saturday, July 18, 2009

Orang Melayu Kecewa Kerajaan Perpaduan Ditolak.

Datuk Ibrahim Ali berkata, perasaan orang Melayu seolah-olah dipermain-mainkan.

Ahli Akademik dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu kecewa dan kesal apabila kerajaan perpaduan yang dicadangkan demi perpaduan orang Melayu akhirnya terkubur begitu sahaja.

Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perasaan orang Melayu seolah-olah dipermain-mainkan apabila pakatan pembangkang menolak cadangan itu.

“Kita teruja dan gembira sebelum ini kerana sudah nampak ada usaha perpaduan antara orang Melayu dan umat Islam apabila timbulnya cadangan ini terutama kerjasama antara UMNO dan Pas.

“Tetapi akhirnya ia jadi begini. Perasaan orang Melayu seolah-olah terus dipermainkan demi kepentingan politik pembangkang semata-mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Pas sebelum ini bagi mewujudkan kerajaan perpaduan bersama UMNO demi kesejahteraan orang Melayu dan umat Islam, tetapi ditolak pakatan pembangkang semalam.

“Mereka (Pas) tidak fikir tentang agenda orang Melayu atau Islam. Saya lihat Pas kini sudah hilang kredibiliti sebagai parti Islam yang dihormati, tetapi hanya mahu berpolitik lebih daripada perjuangan asalnya.

“Lebih aneh, mereka menyalahkan UMNO pula kerana cuba mengeksploitasi isu ini. Setahu saya, cadangan ini datang daripada mereka (Pas). Ini ibarat ‘hujan naik ke langit’ pula,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md. Harun yang turut kesal dengan kegagalan kerajaan perpaduan itu berkata, keadaan orang Melayu kini tidak boleh dibanggakan sangat.

Katanya, kaum itu perlu berbuat sesuatu untuk bersatu bagi mencapai kemajuan dalam segala aspek.

“Tetapi, apabila ada usaha seperti ini yang boleh memberi makna besar kepada perpaduan orang Melayu, ada pula yang seperti mahu ia tidak dilaksanakan,’’ katanya.

Katanya lagi, ini menunjukkan bahawa Pas terus tunduk dengan arahan dan kata-kata DAP yang sesekali tidak akan membenarkan orang Melayu bersatu-padu.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad pula berkata, sikap Pas yang berdolak-dalik dalam isu tersebut amat dikesali kerana ia merugikan orang Melayu sendiri.

“GPMS yakin rakyat telah jelas dan faham tentang permainan politik Pas sejak dulu lagi. Kita percaya rakyat akan menolak sebarang cadangan daripada Pas lagi selepas ini walaupun atas nama agama dan kaum Melayu,” jelasnya.

Ketua Umum, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar pula berkata, penolakan idea itu bertentangan dengan aspirasi rakyat yang telah lama menikmati hasil perpaduan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, ia dibuat di peringkat pemimpin politik sahaja tanpa mendengar pandangan akar umbi.

“Pakatan pembangkang selama ini mencanangkan mereka mewakili rakyat, tapi kenapa dalam hal ini mereka tidak mendengar suara rakyat terlebih dahulu,’’ katanya.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohamad Mustapha Ishak berkata, perkembangan terbaru itu menunjukkan Pas lebih mementingkan politik pilihan raya berbanding politik kepentingan ummah.

“Pada masa ini, Pas hanyalah parti ketiga dalam pakatan pembangkang. Jangan anggap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan beri peranan utama kepadanya apabila menang kelak, insaflah bahawa kepentingan ummah mengatasi segala-galanya,’’ katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, kegagalan idea kerajaan perpaduan berpunca daripada penolakan PKR dan DAP.

Katanya, beliau yakin jauh di sudut hati Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap mahukan idea itu direalisasikan demi kepentingan Islam dan orang Melayu.

“Namun, akhirnya dia sedar kekuatan Pas tiada, jadi dia terpaksa ikut arus yang deras dalam pakatan pembangkang.

“Apa pun Pas tidak mahu mengakui mereka mengikut arus deras itu dan sebaliknya lantang menuduh UMNO,” katanya.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM), KS. Balakrisnan berkata, pakatan pembangkang dilihat agak goyah apabila isu berkaitan kerajaan perpaduan dibangkitkan.

Katanya, pihak pakatan mungkin takut atau bimbang sekiranya gabungan Pas dan Barisan Nasional (BN) menjadi kenyataan, kuasa politik dan sokongan masyarakat Islam kepada mereka akan terhakis.

Sumber: Utusan Malaysia, Jun 24hb, 2009

Monday, July 13, 2009

Jangan Permain Islam Dengan Politik.

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Kenyatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan pertandingan secra sihat berlangsung pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri N.41 Manek Urai disambut baik oleh pemimpin PAS yang turut melahirkan hasrat sama.

Namun demikian, janji tersebut hanya ungkapan manis di bibir sahaja lantaran tindakan para pemimpin tertingginya yang terus-terusan melemparkan tuduhan dan fitanah kepada UMNO dan BN sekalipun mereka sendiri tahu kenyataan yang sebenarnya.

Dalam kempen terbarunya di Chuchoh Puteri, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat terus menjadikan UMNO sebagai sasaran kempennya dan menuduh UMNO amal ajaran sesat sebagaimana pertubuhan al-Arqam dan ajaran Ayah Pin.

Sememangnya ini bukan kali pertama tuduhan dan fitnah sedemikian dilemparkan malahan UMNO juga pernah dilabel oleh para pemimpin PAS seperti kafir, munafik dan pelbagai lagi caci-maci kata nista.

Namun demikian, apa yang lebih penting adalah penilaian sendiri terhadap apa yang berlaku malah secara waras lihatlah sendiri bagaimana kedaan sebenar Islam yang direalisasikan antara PAS dan UMNO.

Tidak cukupkah tragedi sembahyang jemaah dua imam, suami isteri berlainan fahaman politik bercerai-berai dan tidak menziarahi jiran sekampung sama ada kematian atau kenduri, sebagai contoh, semuanya itu jelas merupakan kesan daripada ‘kiasan’ takfir Haji Hadi kepada UMNO.

Bagaimana pula dengan kenyataan dibolehkan berkawan dengan syaitan, umat Islam dibenarkan mencarut dan bersekongkol dengan DAP lantas melenting pula apabila soal perpaduan ditimbulkan.

Sesungguhnya, pengukuran Islam bagi PAS amat mudah, malah hanya dengan mengenakan jubah dan lilit serban di kepala maka akan nampaklah bahawa mereka lebih Islam dari yang lain.

Sememangnya, apa guna dari segi luaran nampak berlagak alim, bangga dengan ilmu yang ada akan tetapi hati dan lidah penuh dengan sifat mazmumah, penuh dengan nista seolah terlupa di akhirat kelak lidah menjadi kelu lantas anggota lain yang berbicara.

Bukan sekadar berkata tanpa fakta dan berhujah tanpa kata-kata sebaliknya kepincangan dalam kepimpinan PAS ini sendiri turut diakui oleh ahli-ahlinya.

Pada Muktamar PAS lalu juga, pelbagai hujah dan saranan termasuklah suara para perwakilan yang mewakili akar umbinya mahukan PAS kembali ke idealogi asal parti tersebut.

Menyusur kembali apa yang berlaku, ada antara perwakilannya sendiri yang menyelar tindakan PAS pusat kerana gagal berpegang kepada prinsip khususnya berkaitan isu akidah dan hasrat mewujudkan sebuah negara Islam.

Hal ini dikatakan semakin ketara apabila PAS mengadakan sekutu dengan pakatan pembangkang lain yang secara jelas menentang idealogi Islam.

Dilaporkan ada antara perwakilannya yang mengganggap usaha PAS terhadap idealoginya sebagai gagal lantaran terlalu menjaga hati rakan sekutu dalam pakatan campuran hinggakan sanggup mengenepikan gerakan perjuangannya sendiri.

Malahan, salah seorang perwakilannya turut mempersoalkan kenapa kini barisan kepimpinan PAS sendiri gagal untuk menyelesaikan isu-isu akidah yang dibuat sambil lewa seperti melepas batuk di tangga.

Jika dahulu PAS pernah melarang pengikutnya makan makanan yang disediakan oleh orang-orang UMNO, hari ini PAS berubah wajah. Mereka bukan setakat hanya makan semeja dengan DAP sambil bergelak ketawa tetapi juga turut menyokong parti terbabit, berdiam diri dalam isu azan dan tulisan jawi sehingga ketua muslimatnya pernah dirakamkan memeluk erat wakil rakyat DAP yang disabitkan dengan kesalahan gambar lucahnya.

Kalau dahulu PAS dengan lantangnya menentang keras penerbitan Bible dalam Bahasa Melayu, hari ini PAS bukan setakat angguk bersetuju malah turut membenarkan ‘God’ atau tuhan di dalam Bible digantikan dengan perkataan Allah.

Tuesday, June 30, 2009

Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa.

'Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa,' sejauh hati orang Melayu dalam proses mengembalikan kegemilangan bangsa yang pernah dikatakan oleh Hang Tuah sebagai "Tidak akan hilang Melayu di dunia."

Biarpun Melayu dilihat secara mata kasar masih mendominasi satu cabang penting komposisi negara bangsa iaitu dari sudut politik, namun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini melantunkan gambaran yang sebaliknya.

Paling jelas Melayu secara jelas dilihat tidak bersatu, gagal bersatu dan enggan bersatu - malah pada satu ketika Melayu dilihat tergamak mengetepikan maruah bangsa semata-mata didorong oleh amarah dalam diri gara-gara alasan yang berbentuk pangkat dan harta benda.

Melayu 'membunuh' Melayu kerana tidak dicalonkan sebagai wakil rakyat. Malah ada Melayu 'memijak' Melayu semata-mata untuk memastikan dia memanjat tinggi. Melayu juga sanggup 'mencantas' peluang Melayu lain asalkan masa depannya dijamin cerah.

Itu adalah masalah Melayu yang secara tidak berselindung menyerlahkan permuafakatan yang semakin luntur berbanding bangsa-bangsa lain yang menjadikan kesatuan hati mereka sebagai asas utama untuk melebarkan kuasanya waima apa pun parti yang didokong.

Sebab itu, apabila Melayu bersuara memperkatakan tentang haknya di tanah air sendiri pasti ada yang menyanggah, malah pihak yang menyanggah itu pernah menyatakan kesediaan untuk 'sehidup semati' dan 'diikat' di bawah satu lambang parti.

Manakala bangsa lain boleh saja mengingkari parti semata-mata kerana kepentingan diri dan kaum sendiri. Apabila sepatah kata keluar dari mulut Melayu hatta yang bersuara itu anak-anak raja, maka tiada siapa segan silu untuk menegur.

Pantang ada tindakan Melayu yang bertemakan keris atau istilah hak keistimewaan maka akan melentinglah banyak orang - nyata Melayu kini semakin tiada hak hatta untuk bersuara di negara sendiri.

Kesemuanya itu adalah kerana Melayu dilihat semakin lemah, gagal bersatu hati jauh sekali bersungguh-sungguh mempertahankan jati diri. Dengan itu, rasa hormat terhadap Melayu semakin terhakis malah kedudukan Melayu sentiasa dipertikaikan.