Bila Melayu hilang jati diri seorang Melayu…
lupa asal usul, lupa tanah tumpah darah, lupa akal budi, lupa jasa hati, hancur akan menyusul
.

Rintitan.

Powered by Blogger Widgets

Tuesday, June 30, 2009

Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa.

'Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa,' sejauh hati orang Melayu dalam proses mengembalikan kegemilangan bangsa yang pernah dikatakan oleh Hang Tuah sebagai "Tidak akan hilang Melayu di dunia."

Biarpun Melayu dilihat secara mata kasar masih mendominasi satu cabang penting komposisi negara bangsa iaitu dari sudut politik, namun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini melantunkan gambaran yang sebaliknya.

Paling jelas Melayu secara jelas dilihat tidak bersatu, gagal bersatu dan enggan bersatu - malah pada satu ketika Melayu dilihat tergamak mengetepikan maruah bangsa semata-mata didorong oleh amarah dalam diri gara-gara alasan yang berbentuk pangkat dan harta benda.

Melayu 'membunuh' Melayu kerana tidak dicalonkan sebagai wakil rakyat. Malah ada Melayu 'memijak' Melayu semata-mata untuk memastikan dia memanjat tinggi. Melayu juga sanggup 'mencantas' peluang Melayu lain asalkan masa depannya dijamin cerah.

Itu adalah masalah Melayu yang secara tidak berselindung menyerlahkan permuafakatan yang semakin luntur berbanding bangsa-bangsa lain yang menjadikan kesatuan hati mereka sebagai asas utama untuk melebarkan kuasanya waima apa pun parti yang didokong.

Sebab itu, apabila Melayu bersuara memperkatakan tentang haknya di tanah air sendiri pasti ada yang menyanggah, malah pihak yang menyanggah itu pernah menyatakan kesediaan untuk 'sehidup semati' dan 'diikat' di bawah satu lambang parti.

Manakala bangsa lain boleh saja mengingkari parti semata-mata kerana kepentingan diri dan kaum sendiri. Apabila sepatah kata keluar dari mulut Melayu hatta yang bersuara itu anak-anak raja, maka tiada siapa segan silu untuk menegur.

Pantang ada tindakan Melayu yang bertemakan keris atau istilah hak keistimewaan maka akan melentinglah banyak orang - nyata Melayu kini semakin tiada hak hatta untuk bersuara di negara sendiri.

Kesemuanya itu adalah kerana Melayu dilihat semakin lemah, gagal bersatu hati jauh sekali bersungguh-sungguh mempertahankan jati diri. Dengan itu, rasa hormat terhadap Melayu semakin terhakis malah kedudukan Melayu sentiasa dipertikaikan.